PSM, MSSM perlu kembangkan acara regu berdua di sekolah - Utusan Malaysia

PSM, MSSM perlu kembangkan acara regu berdua di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 14 Julai – Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) digesa berbincang dengan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) untuk mengembangkan acara regu berdua di peringkat sekolah sebagai platform mengasah bakat-bakat baharu yang berkualiti bagi diketengahkan ke kejohanan antarabangsa.

DR. MOHAMAD OMAR
DR. MOHAMAD OMAR

Pengerusi Akademi Sepak Takraw Terengganu (Pasta), Dr. Mohamad Omar berkata, sudah tiba masanya kedua-dua pihak meneliti perkara itu dengan bijaksana selaras usaha merangsang pembangunan sukan tradisi tersebut di samping mencipta lebih banyak kejayaan buat pasukan negara.

Katanya, ketika ini regu berdua hanya dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (Sukma), Sukan SEA dan Sukan Asia, bagaimanapun penyertaan negara tanpa atlet yang dilatih khusus  dalam acara itu.

“Saya adalah antara kalangan PSM yang terlibat dalam merangka idea mengenai regu berdua pada 2004 tetapi oleh kerana tiada kejohanan peringkat awal di sekolah untuk bakat-bakat muda, maka usaha itu tertangguh begitu sahaja.

“Saya berharap kepemimpinan baharu PSM dan MSSM dapat bekerjasama dalam hal ini dengan mewujudkan sekurang-kurangnya tiga kategori regu berdua membabitkan bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun,” katanya di sini hari ini.

Menurut Dr. Mohamad, menerusi pelaksanaan itu pasukan negeri bukan sahaja dapat mencungkil bakat baharu bahkan dapat melatih, memasang strategi dan mencari keserasian antara pemain.

Katanya, berdasarkan rekod, Malaysia tidak pernah memenangi acara berkenaan di Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Persatuan sudah ada input, jadi sebab itu kita gesa acara regu berdua diperkenalkan supaya kita mempunyai potensi untuk mengutip emas di temasya sukan antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Pasta merupakan antara yang komited membimbing pemain dalam acara regu berdua dengan atletnya, Mohd. Muslim Mohd. Ramli dan Mohd. Fakrul Razi Ismail membanggakan Terengganu apabila meraih pingat emas dalam Sukma 2016 yang diadakan di Kuching, Sarawak.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN