PONTIAN 17 Julai – Pembinaan jambatan Kampung Sepah Beruang dan Kampung Parit Markom di sini bukan janji-janji kosong kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja pembinaannya akan diteruskan setelah beberapa isu berkaitan teknikal diatasi pihak yang bertanggungjawab.
Jelasnya, tiada istilah memperdaya orang ramai sebaliknya tindakan diambil sebaik sahaja kedua-dua jambataan tersebut runtuh melalui peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Kerja-kerja pembinaan jambatan Parit Markom sudah dimulakan sebagaimana yang dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai agensi yang menyelia projek berkenaan.
“Sementara kerja-kerja pembinaan jambatan Kampung Sepah Beruang akan dibina sebaik sahaja beberapa masalah yang ada diselesaikan,” katanya ketika ditemui dalam majlis Town Hall dan Rumah Terbuka Majlis Daerah Pontian (MDP) di sini baru-baru ini.
Jambatan Sepah Beruang yang runtuh pada 23 Januari tahun lalu berlaku setelah air sungai menjadi deras membawa bersama-sama sisa seperti rumput menyebabkan tekanan dan beban berlebihan terhadap struktur jambatan.
Sementara jambatan Parit Markom yang runtuh pada 19 Mac tahun lalu disebabkan hujan lebat serta timbunan sampah sarap mengakibatkan jambataan konkrit yang dibina pada awal tahun 1970-an itu gagal untuk bertahan.
Ahmad Maslan berkata, pihaknya memahami keperluan kepada penduduk setempat yang menggunakan kedua-dua jambatan itu sebagai jalan perhubung bagi urusan seharian termasuk ke sekolah.
“Diharap masalah ini akan dapat diselesaikan pada tahun ini bagi mengatasi masalah kira-kira 1,500 penduduk yang menggunakan jambatan Sepah Beruang yang ingin ke Bandar Benut dan sebaliknya.
“Begitu juga kepada penduduk di Kampung Parit Selangor, Kampung Parit Seraya dan Parit Markom yang menggunakan jambatan Parit Markom bagi urusan seharian masing-masing tidak perlu risau kerana segalanya berjalan dengan baik,” ujarnya.










