KUALA LUMPUR 16 Julai – Anggota Projector Band sudah bersedia untuk menghibur peminat mereka sempena konsert sulung kumpulan tersebut yang akan berlangsung pada 28 Julai ini.
Konsert yang akan berlangsung selama satu jam dan bermula pada pukul 8.45 malam di Quill Convention Centre, Quill City Mall, Kuala Lumpur itu dianjurkan oleh JW Live Productions Sdn. Bhd.
Menurut vokalis utama Projector Band, Iskandar, pada konsert tersebut nanti mereka akan mendendangkan single baharu mereka yang bakal dikeluarkan pada tahun ini yang bertajuk Setia Menantimu.
“Kami bersyukur kerana diberi peluang untuk mengadakan konsert pertama sebagai penghargaan kepada peminat Projector Band yang tidak henti-henti menyokong perjuangan seni kami.
“Pada konsert itu nanti kami akan mendendangkan lagu-lagu popular seperti Pasti Ada Kamu, Aisyah, Meskipun Kau Tahu dan lagu duet pertama Projector Bandr bersama Eka Sharif, bekas peserta Akademi Fantasia 9 iaitu Percaya Hati,” jelas Iskandar kepada Utusan Online.
Selain Iskandar, Projector Band turut dianggotai oleh Razif atau Angah sebagai pemain gitar utama, Isnaidi (Edi) untuk gitar kedua, Ahmad Khusairi (Mat) bermain bes dan Syafiq (Apit) yang bertindak sebagai pemain dram.
Pada yang belum memiliki tiket untuk menonton konsert sulung Projector Band boleh membelinya di kaunter Ticket Charge, QuillCity Mall, Kuala Lumpur atau layari www.ticketcharge.com.my dengan kadar harga RM 50 (normal) dan RM 100 (VIP). – UTUSAN ONLINE










