KUALA LUMPUR 16 Julai – Tempoh pengajian program Ijazah dan Doktor Falsafah (Phd) di Universiri Perguruan Sultan Idris (UPSI)disingkat dari empat tahun kepada dua tahun menerusi program Smart Master dan Smart Phd.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, program itu bertujuan untuk membantu pelajar peringkat Ijazah Sarjana dan Phd menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.
“Program ini dilaksanakan bagi menjimatkan kos yang ditanggung oleh pelajar dalam tempoh pengajian dan turut memberi kemudahan kepada pelajar yang berada jauh menerusi program in house.
“Kualiti hasil penyelidikan pelajar PhD tetap diutamakan dengan menekankan tiga aspek penting iaitu disiplin diri, komitmen dan masa dalam tempoh pengajian,” katanya dalam satu sidang akhbar di Hotel Parkroyal di sini hari ini.
Program ini turut melibatkan kerjasama dengan Philippines Normal University (PNU) pada tahun 2016 melalui satu memorandum perjanjian (MoA) untuk melatih pensyarah-pensyarah melalui program khas berstruktur PhD dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Khas.
Sementara itu, Dekan IPS, UPSI, Prof. Madya Dr. Ramlee Ismail berkata, ia merupakan satu program pembelajaran sokongan melalui latihan secara berstruktur yang melibatkan pemantauan secara berkumpulan bagi subjek tertentu mengikut bidang pengajian.
“Jumlah pelajar yang berdaftar adalah seramai 5,422 orang dan 460 orang pelajar antarabangsa dalam ijazah sarjana dan Phd.
“IPS tetap mengikuti sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) daripada Kementerian Pendidikan dan sasaran bagi program ini adalah 90 peratus pelajar yang berdaftar selesai pengajian pada tempoh ditetapkan,” ujarnya.










