MADINAH – Program prapelepasan jemaah haji Malaysia di antara Malaysia dan Arab Saudi yang mula dilaksanakan tahun ini ternyata berkesan dalam memendekkan tempoh menunggu jemaah haji di lapangan terbang.
Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin berkata, program kerjasama antara kedua-dua negara ini telah menjimatkan masa pemeriksaan Kastam dan Imigresen di lapangan terbang kepada satu jam berbanding empat jam sebelum ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana telah banyak membantu dan memudahkan kemasukan para jemaah haji kita. Ini merupakan pertama kali program ini dilaksanakan untuk jemaah haji kita dan Malaysia merupakan negara yang terawal diberi penghormatan ini.
Proses kemasukan jemaah kita pada hari ini amat mudah dan berjalan dengan begitu lancar. Ini merupakan pembaharuan oleh kerajaan Arab Saudi yang amat kita hargai,” katanya kepada media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji ke Madinah di sini hari ini.
Kumpulan jemaah haji pertama tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz kira-kira pukul 9.24 pagi waktu tempatan dan tiba di Hotel Movenpick di zon dua penginapan pada kira-kira pukul 10.50 pagi disambut oleh Zainol bersama-sama Timbalan Ketua Rombongan (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin dan Pengarah Operasi Tabung Haji Madinah, Affandi Abdullah. – Bernama











