Produksi Mandatori sapu bersih semua trofi terbaik - Utusan Malaysia

Produksi Mandatori sapu bersih semua trofi terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 – Pasukan produksi drama bersiri Mandatori terbitan Ideate Media cemerlang apabila membolot semua trofi pengiktirafan terbaik ketika majlis Anugerah Telenovela 2018 (ATN 2018) yang berlangsung semalam.

Selain diumumkan selaku Telenovela Terbaik, sutradara berkaliber, Razaisyam Rashid berpeluang menambah koleksi trofinya apabila takhta teratas Pengarah Telenovela Terbaik dianugerahkan kepadanya.

Kejayaan drama berplotkan penyiasatan jenayah berprofil tinggi itu disusuli dengan pencapaian barisan penulis skrip yang dinamakan Penulis Skrip Telenovela Terbaik.

Melengkapkan kemenangan penuh gaya, dua terajunya, Aeril Zafrel dan Siti Saleha diangkat kredibiliti mereka untuk menggenggam trofi Pelakon Lelaki Telenovela Terbaik serta Pelakon Wanita Telenovela Terbaik.

Beberapa anugerah lain adalah Pelakon Lelaki Filem Terbaik yang dimiliki Jalil Hamid untuk Bisik Pada Langit manakala Pelakon Wanita Filem Terbaik jatuh ke tangan heroin Kau Yang Satu lakonan Izara Aishah.

Bakat empat pelakon senior ternama turut dihargai oleh panel juri dalam mengangkat martabat anak seni ke tahap tertinggi menerusi pemilihan Fauziah Ahmad Daud untuk anugerah istimewa, Primadona Telenovela.

Seorang lagi insan yang dikenang jasa dan bakat seninya dengan gelaran tertinggi selaku Seniman Legenda ialah bintang veteran tersohor, Datuk Rahim Razali.

Dua lagi kurniaan iaitu Tokoh Seniman dan Tokoh Seniwati adalah milik Othman Hafsham serta Datuk Rosnani Jamil yang mengabdikan separuh hayat mereka demi memartabatkan industri seni.

Keseluruhannya, ATN 2018 menganugerahkan 46 pemenang yang ditentukan atas penilaian juri profesional bagi mengangkat naskhah atau individu terbaik.

Sementara peminat pula memainkan peranan untuk mengundi pemenang pilihan mereka sama ada secara individu mahupun dalam bentuk karya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN