Produk premium sasaran penciplak - Utusan Malaysia

Produk premium sasaran penciplak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebut sahaja jenama Siti Khadijah, perkara pertama yang terbayang ialah seleksi produk telekung berkualiti tinggi.

Fabrik kain yang selesa, kekemasan jahitan dan rekaan letak dagu serta pemilihan warna yang sopan sememangnya menjadi formula jenama itu dalam menawarkan pengalaman beribadah dengan sempurna.

Sehingga kini, jenama yang diasaskan oleh Padzilah Enda Sulaiman, 55, pada tahun 2009 itu memiliki pengikutnya tersendiri.

Bermula secara jualan kecil-kecilan dari rumah ke rumah, Siti Khadijah kini semakin berkembang dengan lebih 28 butik di seluruh negara.

Ironinya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah Holding Sdn. Bhd., Sahar Sahad baru-baru ini mendedahkan, lebih 40 penjual dalam talian menciplak dengan menggunakan tanda dagangan dan rekaan telekung Siti Khadijah sewenang-wenangnya.

Katanya, ia berjaya dikesan menerusi lapan elemen yang telah dikenal pasti seperti jahitan, rekaan letak dagu, fabrik termasuk harga yang ditawarkan.

Malah difahamkan telekung tiruan itu dihasilkan di kilang yang terletak di Vietnam.

“Kita menerima ribuan panggilan dan maklum balas daripada pelanggan berkenaan telekung tiruan yang ternyata jauh berbeza daripada segi kualiti dan konsistensi.

“Pihak tidak bertanggungjawab itu meniru bulat-bulat telekung Siti Khadijah yang dijual pada harga 60 peratus lebih murah antara RM30 dan RM150, sekali gus mengelirukan pengguna.

“Walaupun ia memberi impak terhadap ekonomi dan imej Siti Khadijah, perkara utama yang membimbangkan kita ialah kepercayaan pengguna yang menjadi mangsa penipuan ini,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Sahar, kegiatan tersebut turut menjejaskan lebih 200 kakitangan terdiri daripada ibu tunggal yang bekerja di kilang operasi terletak di Bangi, Selangor.

Siti Khadijah adalah jenama berdaftar di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sekali gus segala tanda dagang dan rekaan yang ditiru boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Rekaan telekung Siti Khadijah dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987, sejak 7 Januari 2011.

Jenama popular

Siti Khadijah merupakan antara jenama popular pengeluar telekung berkualiti pada harga premium.

Bahkan, kegiatan ciplak turut menghantui beberapa jenama produk berasaskan fesyen premium lain yang semakin berkembang kini seperti Naelofar Hijab dan juga dUCK.

Difahamkan, produk-produk tiruan itu dihasilkan di negara luar seperti Vietnam dan juga China.

Pengasas kepada kedua-dua jenama berkenaan iaitu selebriti Neelofa dan Datin Vivy Sofinas Yusof atau Vivy Yusof turut menzahirkan kebimbangan terhadap barangan tiruan dan ciplak yang dikhuatiri menjejaskan periuk nasi usahawan tempatan.

Setiap produk industri yang dihasilkan oleh usahawan tempatan didefinisikan sebagai harta intelek.

Menurut Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Shamsiah Kamaruddin, harta intelek merujuk kepada berberapa jenis hasil daripada idea atau minda seperti ciptaan, karya seni, simbol, nama, imej dan rekaan dalam perniagaan yang hak eksklusifnya diakui di bawah undang-undang berkaitan.

Katanya, hak eksklusif bermaksud hak untuk memiliki dan hak untuk mengeksploitasi sesuatu harta intelek tanpa sebarang ancaman daripada pihak lain.

Ancaman tersebut termasuklah cetak rompak, barangan tiruan, penyalahgunaan, penggunaan tanpa kebenaran dan sebagainya.

Bagaimanapun, kewujudan MyIPO adalah sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab memberi perlindungan kepada hak-hak harta intelek di Malaysia.

“MyIPO berfungsi sebagai badan yang memantau pelaksanaan undang-undang selain memberi nasihat dalam semakan semula dan mengemas kini perundangan berkaitan harta intelek.

“Kesedaran ini amat penting bagi mendidik masyarakat supaya menghormati dan mengiktiraf ciptaan orang lain kerana bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu jenama atau produk.

“Para usahawan perlu melindungi harta intelek agar hak sebagai pemilik lebih terjamin dan bagi memastikan tiada pihak yang mencuri idea serta produk sewenang-wenangnya,” tegasnya.

Hak eksklusif

Harta intelek yang dilindungi di bawah undang-undang di Malaysia ialah Paten, Cap Dagangan, Hak cipta, Reka Bentuk Perindustrian, Petunjuk Geografi dan Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu.

Paten adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu reka cipta, sama ada suatu produk ataupun proses untuk menghasilkan cara baharu bagi membuat sesuatu, ataupun untuk penyelesaian teknikal bagi sesuatu masalah.

Cap dagangan pula tanda yang membezakan barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak lain seperti perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi tersebut.

Tambah Shamsiah, pendaftaran tersebut sangat penting kerana jikalau ada pihak ketiga meniru produk mereka, ia mungkin membuatkan kualiti barangan tersebut tidak sama seperti yang asal.

Lebih malang lagi, ia boleh menjejaskan kepercayaan pelanggan sekaligus memberi kesan ke atas perniagaan individu.

Walau bagaimanapun, mendaftarkan harta intelek bergantung kepada individu atau syarikat kerana ia bukanlah sesuatu yang wajib.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizuddin Nooh, setiap usahawan perlu tahu perkara yang harus dilakukan sekiranya produk mereka diciplak.

Walau bagaimanapun katanya, mengambil langkah pencegahan adalah lebih baik bagi mengurangkan risiko lebih banyak produk yang diciplak.

“Setiap peniaga disarankan untuk mendaftarkan harta intelek di bawah MyIPO namun, kesedaran dalam kalangan peniaga untuk berbuat demikian masih lagi kecil.

“Hal ini kerana kebanyakan peniaga menganggap ia leceh kerana memerlukan pelbagai dokumentasi selain harganya yang mahal.

“Walaupun proses itu mungkin menelan kos yang tinggi, namun hakikatnya ia amat berbaloi demi melindungi harta intelek pengusaha khususnya peniaga kecil kelak,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Solusi

Mohamad Noorizuddin menambah, melindungi harta intelek menerusi MyIPO juga penting bagi pengusaha baharu yang mahu mengeksport produk mereka.

Hal ini kerana, risiko ciplak serta barang tiruan itu lebih cenderung berlaku di peringkat global sekiranya tidak dilindungi.

Sebagai solusi kepada masalah ciplak yang sudah pun berlaku, Mohamad Noorizuddin mencadangkan kepada peniaga untuk menghantar surat peringatan kepada penciplak dan meminta dibalas dalam dua minggu.

Surat tersebut meminta pihak tidak bertanggungjawab mengemukakan sebab dan kemudian disusuli dengan tindakan mahkamah sebagai langkah terakhir.

Walau bagaimanapun katanya, peniaga yang bijak tidak akan mengambil tindakan seperti saman terhadap individu yang bertanggungjawab terhadap jenayah ciplak.

Sebaliknya, peniaga tersebut akan memberikan beberapa pilihan rundingan kepada penciplak tersebut.

Antaranya seperti memberhentikan aktiviti jualan produk ciplak, peniaga mengasilkan konsep pengeluaran barangan asli (OEM) untuk penciplak atau peniaga itu melantik pihak penciplak sebagai pemegang lesen pengedar yang sah.

“Kebanyakan peniaga mahukan situasi konflik menang menang dan bukannya menghukum sebelah pihak semata-mata.

“Rundingan tersebut dilihat lebih lumayan kerana ia secara tidak langsung dapat menambah pendapatan syarikat dan jaringan perniagaan sekali gus menjana ekonomi secara sihat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN