ISU kasut sekolah warna hitam sekali lagi mewarnai dunia persekolahan negara kita.
Menteri Pendidikan sudah memberi kata putus penggunaannya akan bermula tahun hadapan dengan melalui proses kelonggaran setahun, setelah menerima pelbagai pandangan daripada pelbagai pihak.
Pada awal tahun ini, isu ini sudah diperkatakan kerana sudah ramai ibu bapa yang meminta agar penggunaan kasut sekolah warna putih diganti dengan kasut hitam. Alasan yang diberi adalah kasut hitam _mudah diurus, tidak comot dan lebih menjimatkan.
Hal ini berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti luar bilik darjah yang menjadikan kasut putih kotor dan mendatangkan ketidakselesaan kepada pelajar yang memakainya di dalam kelas selepas aktiviti di luar bilik darjah.
Pelbagai pro dan kontra dapat didengar dan kita baca apabila cadangan pelaksanaan pemakaian kasut hitam dalam kalangan pelajar bermula tahun depan. Sesetengah pihak menganggap ini sebagai isu remeh tetapi diperbesar-besarkan.
Jelasnya, bagi yang malas membasuh kasut tentunya kasut hitam sangat sesuai kerana kasut hitam susah kotor dan comot sebagaimana kasut putih. Maka tidak hairanlah apabila kasut hitam digunakan, sikap malas akan menjadi satu budaya baharu pula dalam kalangan pelajar.
Sikap malas menyebabkan kasut selalunya dibasuh lewat. Sikap suka bertangguh-tangguh memburukkan keadaan kerana selalunya kalau dua hari sekolah bercuti, esok hendak buka sekolah baru hendak dibasuh.
Kalau dua minggu bercuti, hari terakhir cuti barulah dicari kasut untuk dibasuh.
Silap-silap kalau hari hujan, langsung tidak dibasuh bimbang tidak kering.
Kalau yang hanya ada sepasang kasut, mahu pula ponteng sekolah kerana kasut.
Mungkin penggunaan kasut hitam juga mendatangkan sedikit keuntungan kerana tidak perlu dikapur, basuh pun mungkin tidak payah pakai sabun , celup dalam air dua tiga kali kemudian terus jemur.
Ataupun, kalau tidak nampak kotor sangat, sebulan pun masih boleh dipakai. Inilah yang paling sesuai bagi pelajar yang malas hendak basuh kasut.
Jika diteliti, penggunaan kasut hitam belum tentu mendatangkan keuntungan jika tidak kena cara gayanya.
Kualiti kasut perlu diambil kira. Jika kasut yang harganya bawah RM20, tentu warna hitamnya akan luntur dengan mudah yang kemudiannya nampak berbelak-belak macam kuda belang. Mahu tidak mahu, cecair pewarna perlu juga dibeli. Itu semua memerlukan duit.
Tegasnya, pakaian pelajar nampak tidak begitu berseri walaupun dalam kalangan pelajar sudah ada yang menggunakan kasut hitam terutamanya pengawas sekolah. Ataupun barangkali suatu masa nanti, ada pula yang meminta agar baju pula diganti dengan baju warna hitam untuk mengelak kotor, maka pelajar akan kelihatan lebih tidak berseri.
Ataupun barangkali, ada yang akan mencadangkan agar pelajar-pelajar memakai kasut getah warna putih kerana kasut ini memang ada di pasaran.
Zaman penulis bersekolah dahulu, ramai yang memakainya kerana sesuai dengan keadaan jalan berselut sebelum sampai ke sekolah. Kotor pun boleh dibasuh dan tidak perlu dijemur. Lepas basuh boleh terus pakai.
Dengan perubahan zaman, tentu rekaan kasut getah kini boleh dibuat lebih canggih supaya selesa dipakai, tidak panas dan sebagainya.
Apa-apa pun pro dan kontranya. tidak kira kasut hitam atau kasut putih, isu yang perlu diberi perhatian lebih di sekolah adalah soal disiplin.
Contohnya, tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyarankan agar kementerian memfokuskan soal disiplin pelajar yang kian membimbangkan kerana pelbagai kes disiplin pelajar selalu digembar-gemburkan di media.









