SHAH ALAM – Kepimpinan tertinggi UMNO akan mengadakan mesyuarat berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis malam ini.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang mengesahkan perkara tersebut bagaimana pun enggan mengulas lanjut mengenai butiran mesyuarat.
“Malam ini akan bincang bersama Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (mengenai PRK DUN Sungai Kandis).
“Soal calon dan kita tunggu arahan selanjutnya daripada kepimpinan. Sudah pasti kepimpinan mempunyai strategi dalam PRK kali ini,”katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Mat Nadzari juga enggan mendedahkan lokasi perbincangan malam ini.
Difahamkan, mesyuarat malam ini juga berkisar sama ada UMNO akan bertanding menggunakan lambang parti itu atau kekal menggunakan simbol Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya berkenaan.
Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 21 Julai ini sebagai tarikh penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis manakala hari pengundian ditetapkan pada 4 Ogos depan.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma, 2 Mei lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu, Mat Shuhaimi menang kerusi sama yang bertukar nama kepada DUN Sungai Kandis menewaskan calon Barisan Nasional(BN), Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 12,480 undi. – K! ONLINE










