SHAH ALAM 16 Julai – Kepimpinan tertinggi UMNO perlu mengambilkira pandangan ahli-ahli di peringkat akar umbi yang mahukan anak tempatan dipilih mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Tuntutan itu disuarakan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Rafify Ramlan apabila beliau menyifatkan pemilihan anak tempatan bukan sahaja mampu meyakinkan rakyat di kawasan DUN itu tetapi turut mengukuhkan lagi jentera parti dalam melaksanakan gerak kerja kempen dalam PRK berkenaan.
“UMNO Bahagian Kota Raja tidak ketandusan pemimpin untuk dipilih sebagai calon. Lagi pun, kalah atau menang UMNO di kerusi DUN Sungai Kandis pada PRK itu ia tidak merubah landskap politik sama ada di peringkat negeri atau pusat.
“Namun, sebagai sebuah parti politik yang bertunjangkan memelihara kepentingan rakyat dan negara, UMNO perlu memang di kerusi DUN ini. Bagaimanapun, meletakkan calon luar hanya menyukarkan jentera UMNO dalam tempoh kempen berbanding anak tempatan yang lebih dikenali rakyat serta ahli-ahli akar umbi parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Rafify turut meminta kepimpinan tertinggi UMNO supaya mengumumkan pelantikan calon untuk bertanding dalam PRK DUN Sungai Kandis lebih awal bukannya di saat-saat akhir tarikh penamaan calon pada 21 Julai ini.
Beliau bagaimanapun, akan tetap akur serta menghormati sebarang keputusan pucuk pimpinan parti dalam soal pemilihan calon yang bertanding.
Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Sabtu ini sebagai tarikh penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis manakala hari pengundian ditetapkan pada 4 Ogos depan.
Seramai 51,230 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis yang ketika ini kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat, awal bulan ini. – UTUSAN ONLINE










