Prejudis terhadap UEC perlu diselesaikan terlebih dahulu - Maszlee - Utusan Malaysia

Prejudis terhadap UEC perlu diselesaikan terlebih dahulu – Maszlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, pandangan prejudis sesetengah masyarakat terhadap Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan berhubung pengiktirafannya.

Katanya, isu itu perlu dibincang secara lebih menyeluruh dan melibatkan banyak pihak berkepentingan. 

“Bukan isu bila dan berapa lama masanya… tetapi isu Bahasa Kebangsaan dan perpaduan rakyat itu yang menjadi perkara utama perlu diselesaikan.

“Banyak persoalan yang timbul dalam kalangan umum kerana ramai masih kabur tentang isu ini (Sijil UEC). Ramai yang berfikir ia (UEC) sebab hendak tolak Bahasa Kebangsaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Justeru katanya, lebih banyak perbincangan perlu diadakan dengan semua pihak termasuk rakyat berkenaan isu itu. 

Semalam, Kementerian Pendidikan mengulangi kenyataan bahawa sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC akan bersifat komprehensif dan holistik, tanpa menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pengiktirafan UEC antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH). UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN