MARANG 8 Julai – PPBM Terengganu menyerahkan pertimbangan pucuk pimpinan Pusat dalam menentukan sama ada wakil parti dari negeri itu layak dan bakal dilantik sebagai senator bagi turut berada dalam barisan Kabinet kelak.
Pengerusinya, Datuk Razali Idris bagaimanapun menaruh keyakinan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PPBM Pusat tidak akan ketepikan ruang bagi kalangan pemimpin parti itu di negeri ini untuk sama-sama berperanan.
“Saya tidak pernah diminta untuk mengemukakan cadangan nama namun saya percaya Tun Dr. Mahathir telah mempunyai senarai calonnya. Mungkin kami tidak diminta mengemukakan cadangan kerana beliau merupakan pemimpin tertinggi PBBM.
“Malah, saya juga yakin, sebagai penghubung antara kerajaan megeri dan Pusat, wakil-wakil PBBM khususnya dari Terengganu akan turut diberikan tugas-tugas tertentu termasuk dalam agensi Kerajaan Persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak lama lagi.
“Terserahlah kepada Tun untuk membuat keputusan,”ujarnya kepada Utusan Online ketika ditemui dalam Majlis Hari Raya PBBM Terengganu di Kampung Rhu Muda, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan juga beberapa bekas calon Dewan Undangan Negeri mewakili PBBM dan UMNO.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan bahawa tiga lagi anggota Kabinet bakal dilantik dalam kalangan senator selepas mengangkat sumpah di Dewan Negara kelak.
Presiden Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu ketika bercakap kepada pemberita di sini semalam memberitahu bahawa parti itu telah menyerahkan sekurang-kurangnya lima nama pemimpin parti itu daripada Kelantan dan Terengganu kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, tiada calon Pakatan Harapan memenangi kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu.-UTUSAN ONLINE










