MACHANG – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjangka lebih ramai ahli UMNO akan keluar dari parti itu dan menyertai Bersatu.
Mukhriz berkata, ia berikutan ahli UMNO kini telah hilang keyakinan terhadap parti berkenaan terutama selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lepas.
“Pada masa yang sama saya tengok UMNO kini terdesak dan melakukan pelbagai perkara untuk menghalang ahli mereka berhijrah menyertai parti lain walhal mereka tidak lagi berkuasa di peringkat negeri ataupun Persekutuan,” katanya pada Program HIJRAH 2.0 di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Penerangan Bersatu merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Noor dan timbalannya, Datuk Sazmi Miah.
Terdahulu, Mukhriz menerima borang deklarasi keluar UMNO daripada 500 pemimpin akar umbi parti itu yang diketuai bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku, Datuk Mohd Zain Ismail. – Bernama










