BUKIT MERAH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menjadi sebuah parti yang menggantikan peranan UMNO dalam menjadi pelindung kepada orang Melayu dan seluruh rakyat di negara ini.
Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dengan jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya, beliau yakin parti tersebut dapat mempengaruhi pentadbiran negara khususnya orang Melayu yang merasakan tidak selamat berada di negara ini.
“Bagaimanapun, kita tidak akan berkelakuan seperti UMNO yang sudah menyimpang jauh daripada tujuan asal penubuhannya. Mereka dahulu dihormati dan dimuliakan.
“Apabila UMNO menjadi pemerintah sejak sekian lama, mereka lupa matlamat utama penubuhan parti tersebut yang berjuang untuk agama,bangsa dan tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM 2018 di Bukit Merah Laketown Resort di sini hari ini.
Dianggarkan seramai 20,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis tersebut.
Hadir sama, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi PPBM Perak merangkap Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.
Dalam pada itu, Mahathir turut berkata, ahli UMNO perlu menerima hakikat bahawa parti tersebut merupakan alat kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukan lagi menjadi sebuah parti kebangsaaan.
“Di bawah pemerintahan Najib, UMNO hanya memikirkan soal wang untuk mereka sahaja. Ini yang berlaku sehingga ramai ahli UMNO keluar untuk sertai parti lain.
“Saya yakin mereka (ahli UMNO) akan meninggalkan parti tersebut yang sudah dihancurkan oleh pemimpin mereka,” katanya. – K! ONLINE










