Populariti susu unta di Kenya meningkat - Utusan Malaysia

Populariti susu unta di Kenya meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HALIMA SHEIKH ALI merupakan pemilik kepada beberapa mesin layan diri (ATM) di Wajir, sebuah pekan di utara Kenya.

Menariknya, ATM tersebut tidak menyediakan urus niaga pengeluaran wang, sebaliknya menyajikan sesuatu yang lebih sedap iaitu pek susu unta segar.

“Pada harga RM4.05, anda akan mendapat satu liter susu segar di bandar Wajir,” katanya yang memberitahu susu unta itu dijual segar, bersih dan harganya berpatutan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain Kenya, salah satu pengeluar unta terbesar di dunia ialah Afrika Timur.

Kini, permintaan susu unta segar semakin meningkat di Wajir kerana ia dikatakan lebih sihat dan berkhasiat berbanding susu lembu.

“Susu unta banyak manfaatnya antaranya baik untuk diabetes, tekanan darah dan masalah perut.

“Masalahnya apabila musim kemarau suhu purata di sini mencecah 40 darjah Celsius menyebabkan susu cepat menjadi masam. Selain itu, tempat pengumpulan susu juga kotor menyebabkan ia sukar dijual,” kata Noor Abdullahi, seorang pegawai projek agensi bantuan A.S. Mercy Crops.

Untuk mengatasi perkara itu, inisiatif membekalkan peti ais kepada kira-kira 50 orang wanita di Kampung Hadado telah dilaksanakan. Terletak 80 kilometer (km) dari Wajir, kemudahan peti ais tersebut membolehkan susu unta yang dihantar melalui pemandu teksi dan van dapat disejukkan, sekali gus memastikannya sentiasa segar.

Terdapat 12 orang peniaga termasuk Halima yang menjual susu menggunakan empat buah mesin ATM. Sebelum ini, mereka telah menerima latihan kemahiran perniagaan termasuk berkaitan perakaunan.

“Bekalan susu dan permintaannya memang sentiasa ada. Kami cuma perlu memastikan susu tersebut mudah diperoleh oleh orang ramai,” ujarnya.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada Program Ketahanan dan Penyesuaian Bencana Ekstrem dan Bencana (BRACED) yang dibiayai oleh Jabatan Pengembangan Antarabangsa (DFID) United Kingdom dan diketuai oleh Mercy Corps.

Asha Abdi seorang peniaga susu di Hadado yang mengendalikan salah satu peti sejuk dengan 11 wanita lain berkata, dia terpaksa mendidih susu unta dengan menggunakan kayu api yang mahal untuk mengelak susu menjadi masam.

“Saya menghabiskan RM4.05 sehari untuk membeli kayu api, agar susu tersebut tidak masam apabila sampai ke Wajir kerana pengangkutan awam mengambil masa tiga jam,” katanya.

Kini, Asha bersama ahli rakan niaganya menghantar kira-kira 500 liter susu segar dengan menggunakan van di Wajir setiap hari.

Katanya, hasil daripada keuntungan tersebut mereka meneroka peluang perniagaan lain.

“Contohnya, saya membeli 20 ekor kambing secara tunai.

“Namun, impian saya adalah untuk mengeksport susu unta ini ke Amerika Syarikat kerana pasaran di sana umpama lubuk emas,” katanya ketika ditemui sedang menyusun bungkusan gula di kedainya.

Cabaran

Di tengah-tengah beratus unta yang mengembara di luar Hadado, Gedi Mohammed duduk di bawah rimbunan pokok Akasia kecil.

“Pemandu akan lalu di sini untuk membeli susu unta saya,” jelasnya sambil menghirup susu daripada mangkuk kayu besar.

Gedi yang pernah memiliki lebih 100 ekor lembu berkata, dia berjinak-jinak dalam bidang penternakan unta pada 10 tahun yang lalu.

“Saya menukar lembu kepada unta kerana unta dapat bertahan selama lapan hari tanpa air, manakala lembu hanya dua hari,” ujarnya.

Tambahnya, jika berlaku musim kemarau, perniagaan menjadi teruk kerana ketiadaan bekalan makanan dan air, malah unta juga kurang menghasilkan susu.

“Perniagaan akan jadi lebih baik sekiranya saya mempunyai kenderaan sendiri untuk mengangkut susu kepada pembeli.

“Kini, saya hanya bergantung kepada pemandu teksi yang mencari saya,” katanya sambil memberi arahan kepada seorang lelaki agar mencari untanya yang sesat.

Sementara itu, Halima berkata, penggunaan ATM dapat mengurangkan kos perniagaannya kira-kira RM200 sebulan.

“Saya tidak perlu lagi membeli kayu api untuk mendidihkan susu dan boleh menjual susu segar pada harga yang lebih tinggi,” jelasnya.

Begitu pun, bagi Amina Abikar walaupun mesin itu terbukti popular, mereka turut mengalami masalah teknikal.

“Kadang-kadang mesin ini pecah atau rosak dan memaparkan tiada biarpun masih ada baki 100 liter susu di dalamnya.

“Oleh itu, kita perlu menunggu juruteknik mesin ini dari negara lain iaitu Nairobi. Lebih baik melatih penduduk tempatan untuk membaikinya,” katanya.

Dalam pada itu, Amina berkata, dari sudut negatifnya ia turut melambatkan pertumbuhan perniagaan ekoran kadar buta huruf yang tinggi dalam kalangan wanita yang terlibat.

Amina yang juga tidak dapat membaca atau menulis, bergantung pada anaknya untuk mengendalikan mesin dan menyelenggaranya.

“Saya mahu melakukannya sendiri tetapi saya cuma kenal ABC,” katanya yang ingin berusaha untuk mengendalikan mesin tersebut suatu hari nanti. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×