Polis tumpaskan sindiket skim cepat kaya - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan sindiket skim cepat kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN 6 Julai – Polis menumpaskan sindiket pelaburan skim cepat kaya membabitkan kerugian mencecah RM1.3 juta dengan menahan dua suspek termasuk pengasas skim itu di sekitar wilayah ini baru-baru ini.

Barang rampasan
ANTARA barangan termasuk buku cek yang dirampas bagi membantu siasatan kes skim cepat kaya di Labuan, semalam. – UTUSAN ONLINE

Kedua-dua suspek terdiri daripada seorang warga Indonesia dikenali sebagai Pak Tam berusia 54 tahun ditahan pada minggu lalu, manakala pengasasnya yang juga rakyat tempatan berusia 23 tahun diberkas kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kedua-dua suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak Februari lalu dan memperdaya kira-kira 650 mangsa di sekitar kawasan ini termasuk Sabah dan Sarawak.

“Tangkapan dilakukan selepas kira-kira sebulan pasukan polis menjalankan risikan untuk mengesan gerak-geri kedua-dua suspek.

“Siasatan mendapati suspek pertama iaitu Pak Tam memainkan peranan sebagai orang tengah, manakala tangkapan kedua merupakan pengasas kepada skim penipuan ini,” katanya di sini hari ini.

Muhamad Farid menambah, modus operandi suspek ialah menjanjikan pulangan komisen lumayan untuk memperdaya mangsa mereka.

“Skim tersebut menawarkan pelaburan minimum RM1,800 dengan menjanjikan pulangan RM1,300 sebulan dalam tempoh lima tahun.

“Mangsa yang melabur maksimum RM37,800 pula dijanjikan pulangan sebanyak RM33,000 sebulan bagi tempoh 10 tahun,” katanya.

Ujarnya, kedua-dua suspek melakukan kegiatan mengutip wang melalui orang tengah dan tidak mempunyai pejabat.

“Sebanyak 15 item eksibit dirampas termasuk tiga cek bernilai RM444,450 kad ATM pelbagai bank, buku cek, dua kad sim dan telefon bimbit,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN