Polis tumpaskan sindiket dadah bernilai RM143,025 - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan sindiket dadah bernilai RM143,025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM143,025 menerusi ‘Ops Terancang’ di Taman Bidara, Rahang di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, seorang lelaki berusia 49 tahun turut ditahan dalam operasi khas dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) , Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri. 

Menurutnya, dalam serbuan pukul 8 malam itu, sebuah kenderaan mewah, wang tunai dan jam tangan bernilai RM172,100 turut dirampas di kediaman tersebut. 

“Polis percaya suspek menjadikan rumahnya sebagai makmal, stor dan pusat untuk membungkus dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

“Antara dadah yang dirampas adalah heroin, syabu, pil Eramin 5 dan pil Ecstasy selain peralatan memproses dan membungkus dadah,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. 

Noor Azam memaklumkan, suspek juga didapati positif methamphetamine ketika ditahan. 

Beliau berkata, lelaki terbabit tinggal di rumah itu bersama keluarganya dan polis masih melakukan siasatan lanjut bagi mengenalpasti identiti anggota sindiket yang lain.

Ujarnya lagi, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×