KUALA TERENGGANU 9 Julai – Polis berjaya menumpaskan Geng Pak Hitam yang mensasarkan kawasan pekarangan masjid sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus bagi melakukan jenayah pecah kereta dengan penahanan tiga suspek termasuk seorang wanita Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, kumpulan kalangan penagih itu yang dikatakan aktif sejak Mac lalu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes daripada 18 kes yang dilaporkan di kawasan terbabit sejak Januari lalu.
Ini termasuklah kereta termasuk kenderaan pacuan empat roda, milik bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah, dan penjenayah melarikan beg mengandungi beberapa kitab agama dan tafsir al-Quran sewaktu mangsa menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Kuala Ibai di sini pada 25 Jun lalu.
“Dua suspek (lelaki dan wanita) dikesan dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta di kawasan parkir Masjid Bukit Besar di sini pada pukul 5 pagi, 5 Julai lalu,”ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, di dalam kereta itu turut ditemukan barang-barang kes berkaitan dengan kes pecah kereta seperti serangkai anak kunci kereta, kunci rumah, beg yang mengandungi buku agama, sarung tangan dan sebatang besi.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat lelaki itu, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki kira-kira pukul 11.30 pagi pada hari yang sama di Kampung Pantai Ali Bukit Payong, Marang.
“Hasil pendedahan yang dibuat oleh ketiga-tiga suspek, anggota polis telah membuat rampasan barang di dua lokasi yang berasingan iaitu di sebuah rumah di Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar dan Lorong Dua, Bandar Baharu Pulau Kambing di sini,” katanya.
Idris memberitahu, barangan yang dirampas didapati mempunyai kaitan dengan kes-kes pecah kereta yang dilaporkan seperti beg, kitab, buku-buku agama, sekeping pas keselamatan dan sebuah buku berwarna oren/hitam, kain sembahyang wanita dan telekong.
Katanya, mereka menyasarkan kereta yang diletakkan berhampiran masjid antara pukul 2 pagi hingga 6 pagi dengan memecah cermin kereta mangsa menggunakan serpihan plug motosikal.
Menurut beliau, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 5 Julai dan kes disiasat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan dengan itu juga, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan barangan yang boleh dilihat walaupun tidak berharga kerana boleh mendorong penjenayah untuk melakukan jenayah.-UTUSAN ONLINE









