KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menumpaskan sindiket kereta curi yang beroperasi di sekitar Lembah Klang dalam satu serbuan di Bandar Kinrara di sini pada 12 Julai lalu.
Melalui Op Lejang Hilux yang dianggotai oleh pegawai dan anggota daripada Bahagian Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, polis berjaya merampas 21 buah kenderaan yang disyaki dicuri.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, serbuan itu dibuat di sebuah premis penyimpanan kereta terpakai di Bandar Kinrara di sini.
“Sebanyak 20 kenderaan pacuan empat roda (MPV) jenis Toyota Hilux dan sebuah kereta jenis Mini Austin Morris ditemui di premis tersebut. Turut dirampas adalah empat unit telefon bimbit dan 21 gugus kunci kereta.
“Berdasarkan pemeriksaan serta semakan melalui sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), enam buah MPV Toyota Hilux tidak direkodkan dalam sistem, 11 buah lagi pula telah diganggu nombor chasisnya manakala empat lagi kenderaan dilaporkan dicuri di Machang Bubok, Pulau Pinang, Batu 9, Cheras, Damansara, Petaling Jaya serta Sri Petaling di sini,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Bukit Jalil hari ini.
Mazlan menambah, sindiket tersebut menyasarkan pasaran ke luar negara terutamanya negara di Asia Barat.
“Mereka akan mencuri dan mengumpul kesemua kenderaan di sebuah premis dan melakukan perubahan yang perlu sebelum dihantar melalui jalan laut terus kepada ejen yang dilantik di luar negara.
“Sindiket tersebut berjalan disebabkan adanya permintaan untuk kereta-kereta berjenama dengan harga lebih murah di luar negara,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua MPV jenis Toyota Hilux yang nombor chasisnya diganggu telah dihantar untuk pemeriksaan forensik dan masih menunggu keputusan penuh.
“Polis turut menahan lima suspek berusia antara 41 hingga 63 tahun di premis itu serta di Seri Muda, Shah Alam yang dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut dan direman selama lima hari bermula 12 Julai lalu.
“Kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta curi kenderaan dan salah seorang suspek juga pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 397A dan 413 Kanun Keseksaan kerana berniaga harta curi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan sindiket sebegini boleh menyalurkan maklumat kepada Asisten Superitendan Hisyamuddin Mohamed di talian 03-2146 0649.










