SUBANG JAYA – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mengendalikan pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 berjumlah RM3.5 juta.
Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Selangor di satu unit pejabat di sini semalam.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Komputer (D10) Forensik Bukit Aman dan Unit Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
“Ketika ditahan di pejabatnya kira-kira pukul 11.30 malam, lelaki itu mengaku menjalankan aktiviti pertaruhan dan promosi aktiviti judi bola sepak Piala Dunia 2018 dalam talian menerusi sebuah laman web dengan menggunakan telefon bimbit, laman sosial Facebook dan aplikasi WeChat.
“Sindiket tersebut turut menjalankan aktiviti judi yang mempunyai 16 jenis permainan berunsurkan perjudian dalam talian yang beroperasi kira-kira tiga bulan lalu sebelum perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 di Russia dan mereka yang ingin bertaruh perlu menjadi ahli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Khaizam menambah, transaksi wang pertaruhan dilakukan menggunakan beberapa akaun bank tempatan yang sehingga kini mencecah RM3.5 juta dengan ahli seramai 1527 orang.
“Polis telah merampas enam monitor, satu unit router, satu kamera IP, dua unit modem, tiga cakera keras, dua pembesar suara, empat pemacu komputer, dua tac generator, dua kad akses dan enam telefon bimbit.
“Kami turut merampas satu unit kalkulator, empat pusat simpanan data maya, sebuah buku cek, tujuh keping resit bank, satu resit barang penghantaran, dua resit deposit tunai perbankan, satu kad nama dan 11 kertas catatan kata laluan untuk mengakses akaun pertaruhan,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Subang Jaya bagi tujuan siasatan lanjut.
“Pihak JSJK Bukit Aman akan menjalankan semakan dan siasatan lanjut tentang laman web yang menjadi tempat perjudian tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pertaruhan 1953,” katanya. – K! ONLINE










