KUALA LUMPUR 24 Julai – Polis mendapat petunjuk baharu berhubung kes mayat wanita dikerat enam yang ditemukan di dalam dua beg bagasi pakaian di tepi jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak di sini pada 5 Julai lalu.
Difahamkan petunjuk yang diperoleh menyamai maklumat daripada imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV), melibatkan suspek mencampakkan mayat mangsa warganegara Bangladesh berusia 29 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, pihak polis kini sedang giat mengesan seorang suspek melalui CCTV berhampiran lokasi.
“Kami percaya susuk tubuh individu dalam imej CCTV menyamai seorang suspek yang disyaki dan sedang diburu bagi membantu siasatan.
“Berpandukan imej daripada CCTV, kelihatan seorang individu menarik beg berkenaan lalu dicampak di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Jelas Shaharudin, siasatan masih dijalankan dari semua sudut bagi mengesan suspek terlibat.
Terdahulu, polis mengesahkan telah mengenal pasti identiti mayat yang dikerat enam itu merupakan seorang wanita dan giat mengesan seorang saksi bagi membantu siasatan kes.
Saksi tersebut ialah suami mangsa, Md. Shahzada Saju, 37, dan memiliki pasport bernombor BQ0096599 serta dipercayai berada di Johor.










