BALIK PULAU – Polis daerah Barat Daya menahan seorang penunggang motosikal selepas didapati membawa sebutir peluru yang disimpan di dalam beg silangnya semasa operasi sekatan di Jalan Hilir Sungai Keluang, Bayan Baru di sini pagi tadi.
Suspek lelaki berusia 44 tahun itu ditahan dalam Ops Ragut yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya kira-kira pukul 9.20 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek yang bekerja sebagai pemandu lori barangan terpakai itu telah menemui sebutir peluru saiz 5.56 (SME) di dalam poket hadapan beg silangnya.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menyimpan peluru secara tidak sah hampir setahun lalu. Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. -K! ONLINE










