KUCHING 19 Julai – Polis sudah memanggil Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi keterangan berhubung pelbagai barang yang dirampas di kediaman dikaitkan dengannya yang ditaksirkan bernilai antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, bekas Perdana Menteri itu dipanggil oleh
Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman beberapa hari yang lalu.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila tarikh sebenar Najib dipanggil kerana maklumat lanjut terdapat pada
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
“Ya…beliau (Najib) sudah dipanggil untuk memberi penerangan beberapa hari lalu. Saya tidak pasti hari apa, boleh tanya Datuk Seri Amar Singh,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Amer Awal dengan Timbalannya, Datuk Pahlawan Mohd. Dzuraidi Ibrahim di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini sebentar tadi.
Sebelum ini, Amar Singh pernah memaklumkan polis akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung pelbagai barang yang dirampas di kediamannya.
Menurutnya, keterangan mereka diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung penemuan wang tunai, barang kemas, beg tangan dan pelbagai barangan mewah lain.










