KUCHING – Polis sudah memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memberi keterangan berkaitan pelbagai barangan miliknya yang dirampas beberapa hari lalu.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dalam satu sidang akhbar di sini tadi.
“Najib sudah dipanggil beberapa hari lalu untuk memberi keterangan mengenai barang-barang rampasan tersebut,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini tadi.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pada 27 Jun lalu akan memanggil Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bagi memberi keterangan membabitkan pelbagai barang yang dirampas di kediaman mereka dengan jumlah taksiran bernilai antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Amar Singh berkata, polis menyiasat kes itu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Pada 22 Mei lalu, Najib dipanggil kali pertama memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya selama empat jam sebelum dipanggil kali kedua pada 24 Mei selama tujuh jam. – K! ONLINE










