SHAH ALAM – Polis Selangor akan menyiasat dakwaan kumpulan pengganas Daesh kini menyamar sebagai pelajar kolej perubatan yang datang ke rumah bagi melakukan ujian darah sebelum mangsa disuntik dengan virus Human Immunodeficiency Virus (HIV).
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mangsa berhubung perkara tersebut.
“Saya pun belum dapat maklumat tersebut dan kadang-kadang yang ditularkan adalah tidak betul.
“Bagaimanapun, kita kena melihat sejauh mana kesahihannya dan meminta mangsa supaya membuat laporan polis supaya siasatan dapat dilakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan polis kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penyebaran pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp yang menjadi tular berhubung tindakan kumpulan pengganas Daesh yang kini menukar modus operandi mereka dengan menyamar sebagai pelajar kolej perubatan yang datang ke rumah-rumah dengan dakwaan bagi melakukan ujian darah sebelum mangsa disuntik dengan HIV.
Sehubungan itu, Mazlan mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tidak membenarkan individu yang tidak dikenali memasuki rumah kita sewenang-wenangnya. -K! ONLINE










