KUALA LUMPUR – Polis selesai merakam percakapan pemandu treler yang terbabit dalam satu kemalangan sehingga meragut empat nyawa selepas dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, anggota polis telah melakukan tangkapan terhadap suspek sejurus dibenarkan keluar dari hospital.
“Kita telah merakam percakapan suspek termasuk melakukan ujian saringan air kencing dan mendapati pemandu berusia 45 tahun tersebut negatif dadah.
“Suspek telah diberi jaminan polis setelah semua prosedur siasatan selesai dan disamping itu, kita akan meneruskan siasatan bagi mengenalpasti punca kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman turut memberitahu, seorang penumpang Toyota Vellfire yang terlibat dalam kemalangan tersebut masih berada di hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Sementara jenazah Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48; Nur Fitrah Rosman, 24; Nurbaya Mohd. Zaki, 24 dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24, telah diserahkan kepada waris pada pukul 2 pagi tadi bagi urusan pengebumian,” jelasnya.
Kosmo! hari ini melaporkan, empat maut, seorang parah dan tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 446, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Rawang. – K! ONLINE







