BUTTERWORTH 17 Julai – Polis Seberang Perai Utara (SPU) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadi sebuah rumah usang sebagai markas operasi.
Menerusi satu serbuan dalam Ops Tapis pada pukul 4 petang semalam di Kampung Ujung Batu, Jalan Bagan Dalam di sini, polis berjaya menahan empat anggota sindiket berkenaan.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki India serta masing-masing seorang lelaki dan wanita Melayu yang berusia dalam lingkungan 37 hingga 59 tahun.
“Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan telah menemukan empat paket plastik lutsinar dan lima keratan penyedut minumam yang dipercayai diisi dadah jenis heroin seberat 20 gram,” katanya, di sini hari ini.
Katanya, dadah bernilai RM600 dipercayai untuk diedarkan di kawasan sekitar manakala ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morfin dan Metamphetamine.
“Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita, hari ini. – UTUSAN ONLINE










