Polis lepaskan tembakan cuba tahan suspek pecah rumah - Utusan Malaysia

Polis lepaskan tembakan cuba tahan suspek pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 25 Julai – Seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Machang Bubok terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta dinaiki tiga suspek yang sebelum itu cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Remia di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, anggota polis berusia 30 tahun itu bersama seorang rakannya yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal sedang menjalankan Op Harapan di sekitar kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota terbabit telah mengarahkan pemandu kereta jenis BMW itu berhenti namun tidak diendahkan dan cuba melanggar mereka.

“Anggota terbabit yang berasa terancam telah melepaskan tembakan ke arah kenderaan dinaiki suspek sebanyak dua das namun kereta terbabit tidak berhenti sebelum meloloskan diri ke arah Jalan Kulim.

“Polis percaya kereta yang dinaiki suspek dgunakan dalam kes cubaan pecah rumah di Taman Sejahtera Permai beberapa jam sebelum itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, semakan ke atas kereta mendapati ia dimiliki seorang lelaki beralamat di Overseas Union Garden, Kuala Lumpur dan tidak pernah dilaporkan hilang.

Jelas Nik Ros Azhan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN