KUALA TERENGGANU 25 Julai – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes mencederakan seorang penjual ikan di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, Kuala Nerus pada 7 Julai lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Suffian Sulaiman percaya Che Rozidi Amri Abu Bakar, 47, atau lebih dikenali sebagai Sidi yang juga rakan mangsa masih berada di dalam negeri ini.
Katanya, kejadian yang berlaku sekitar pukul 4 petang itu bermotifkan rasa tidak puas hati selepas mangsa bertindak menegur suspek yang memarahi seorang rakan berkait isu dadah.
“Difahamkan mangsa berusia 31 tahun itu telah menegur suspek yang memarahi seorang rakannya. Berikutan rasa tidak puas hati, suspek menggunakan sebilah pisau berukuran empat inci yang disambung pada sebatang PVC (polivinil klorida) untuk menikam mangsa.
“Mangsa mengalami kecederaan pada dada sebelah kiri dan dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan selama dua hari,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Suffian meminta orang awam yang mempunyai maklumat tentang suspek supaya menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Wan Nurhafizah Rozdlan di talian 019-44714570. – UTUSAN ONLINE










