KUALA LUMPUR – Polis menemui puluhan kelongsong peluru di lokasi kejadian tembak di sebuah pusat hiburan di Taman Maluri, Cheras di sini malam semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki kira-kira pukul 9.30 malam.
“Pemeriksaan awal di tempat kejadian menemui 26 kelongsong peluru kaliber 5.56 milimiter(mm).
“Sebanyak 18 helai kertas bersaiz A4 yang memaparkan gambar dua lelaki dipercayai warga tempatan ditemui kira-kira 22 meter dari lokasi tembakan dilepaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mazlan, tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian tersebut.
“Polis sedang menjalankan siasatan dan semakan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang berada di sekitar lokasi tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksten 39 Akta Senjata Api 1960,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut diminta menghubungi Asisten Superintendan Mutazlim Hamdan di talian 03-9205 0222 atau 019-784 2754, Inspektor Mohamad Syafiq Mohamad Rusdin di talian 03-9205 0222 atau 018-240 4072 dan Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585. – K! ONLINE










