JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya mematahkan satu sindiket pengedaran dadah apabila menahan lima lelaki dan merampas 7.64 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM126,000 dalam dua serbuan di Kempas di sini 14 Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, serbuan yang dilakukan antara puku 2 hingga 7 petang itu, kesemua lelaki yang diberkas merupakan warga tempatan berusia antara 22 hingga 42 tahun.
“Kita melakukan dua serbuan di kawasan Kempas antara pukul 2 hingga 7 petang dan berjaya memberkas lima lelaki tempatan.
“Susulan tangkapan itu kita berjaya merampas 7.19kg dadah jenis heroin, syabu (400g) dan ganja (56g) bernilai RM126,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Lukas berkata, dalam serbuan terbabit pihaknya turut merampas tiga buah kereta termasuk Volkwagen Polo, Honda CR-Z serta Perodua Myvi selain sebuah motosikal Yamaha 135LC, wang tunai, 11 unit telefon bimbit dan nilai keseluruhan berjumlah RM91,000.
Beliau berkata, salah seorang daripada suspek positif dadah jenis MOP selain tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Ujarnya, kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE










