Polis cari dua lelaki bantu siasatan kes tembak kelab malam di Cheras - Utusan Malaysia

Polis cari dua lelaki bantu siasatan kes tembak kelab malam di Cheras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan dua lelaki yang salah seorangnya digelar Datuk bagi membantu siasatan kes tembakan di sebuah kelab malam di Taman Maluri, Cheras di sini 13 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua lelaki tersebut merupakan individu yang gambarnya terdapat pada 18 keping kertas yang dijumpai di sekitar lokasi tembakan itu.

“Kedua-dua lelaki tersebut dipercayai ahli perniagaan.

“Suspek yang menembak pula dipercayai adalah individu yang diupah untuk membunuh,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Bukit Jalil di sini hari ini.

Mazlan juga memberitahu polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian itu adalah peras ugut melibatkan masalah kewangan.

“Polis masih belum menemui sebarang kaitan dengan beberapa kes tembakan yang berlaku di sebuah kelab malam di Bukit Bintang sebelum ini.

“Kami masih menunggu laporan forensik bagi mengetahui sama ada senjata yang digunakan berkaitan dengan kes tembakan di Bukit Bintang itu,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan polis menemui puluhan kelongsong peluru di lokasi kejadian tembakan di sebuah pusat hiburan di Taman Maluri, Cheras di sini pada 13 Julai lalu.

Pemeriksaan awal di tempat kejadian menemui 26 kelongsong peluru kaliber 5.56 milimiter.

Tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN