Polis buru sindiket kes penipuan pelaburan RM4.4 juta - Utusan Malaysia

Polis buru sindiket kes penipuan pelaburan RM4.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu sedang memburu tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam sebuah sindiket penipuan pelaburan pencairan dana asing yang tidak wujud membabitkan nilai kerugian RM4.4 juta.

Sindiket yang disyaki didalangi suspek bernama Radzuan Othman@Deraman, 38, beralamat di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus terbongkar selepas JSJK Terengganu menerima empat laporan dari tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Dungun serta Kemaman.

Dua lagi suspek yang sedang dikesan adalah seorang warga emas, Shoib Moin, 61, yang beralamat di Pangsapuri Tanjong Merdeka Villa, Ampang, Selangor dan Yahaya Yahir atau dikenali sebagai Ustaz Yahaya, 54, dari Kampung Sungai Ular, Kuantan, Pahang.

Ketua JSJK negeri, Superintendan Mohd. Rawi Ab. Ghani berkata, laporan pertama berhubung aktiviti penipuan itu diterima pada tahun 2012 membabitkan seorang mangsa dari Chukai, Kemaman yang kerugian RM200,000 sebelum seorang lagi mangsa dari Kuala Terengganu ditipu sejumlah RM900,000 dua tahun kemudian.

Menurut beliau, laporan polis yang diterima pada tahun 2016 pula melibatkan seorang mangsa dari Paka, Dungun yang kerugian sehingga RM2 juta manakala wang mangsa seterusnya dari daerah ini lesap sebanyak RM1.3 juta dipercayai dilakukan sindiket sama tahun lalu.

“Orang awam yang ingin untuk tampil memberi maklumat berkaitan suspek bagi membantu siasatan polis dengan menghubungi Asisten Superintendan Mohd. Amir Mohd. Hadi di talian 09-6354 977/ 019-6209 348,” katanya kepada Kosmo! hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN