Polis buru pemandu Proton Waja Kuning langgar lari penunggang motosikal - Utusan Malaysia

Polis buru pemandu Proton Waja Kuning langgar lari penunggang motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Polis kini memburu pemandu kereta jenis Proton Waja berwarna kuning yang terlibat dalam kemalangan langgar lari sehingga menyebabkan seorang pekerja Pelabuhan Barat maut di Jalan Batu 2, Kapar di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, mangsa, V. George, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menghala ke pekan Kapar dari Jalan Batu 2.

Beliau berkata, motosikal jenis Yamaha LC135 dinaiki mangsa dipercayai telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta Proton Waja.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan. 

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke Hsopital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mazelan, siasatan awal di lokasi kejadian juga telah menemui serpihan beberapa bahagian kereta berwarna kuning termasuk nombor pendaftaran dipercayai milik Proton Waja yang telah melanggar mangsa.

“Sehingga pukul 3 petang tadi, pemandu kereta Proton Waja tersebut masih membuat laporan polis dan usaha mengesan pemandu terbabit sedang giat dijalankan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan di lokasi kejadian juga tidak mempunyai televisyen litar tertutup (CCTV),”ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN