BUKIT MERTAJAM 24 Julai – Polis memberkas seorang lelaki yang dipercayai aktif dalam kegiatan jenayah pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Dalam kejadian pada Ahad lepas, sepasang suami isteri membuat laporan polis selepas mendapati kediaman mereka di Taman Cendana, Juru di sini dipecah masuk seorang individu tidak dikenali kira-kira pukul 2.45 petang.
Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Abd. Hamid berkata, pasangan berkenaan kemudian bertindak mengekori suspek dan menghubungi pihak polis.
“Suspek melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota polis, namun berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bagan Nyior di sini” katanya di sini hari ini.
Menurut Nik Ros Azhan, pasangan berkenaan mendakwa kerugian wang tunai RM300 dan perakam video bernilai kira-kira RM2,000.
“Polis masih belum dapat merakam keterangan suspek berusia 30 tahun itu kerana dia masih di bawah pengaruh dadah dan direman sehingga 30 Julai ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










