KUALA LUMPUR 15 Julai – Polis sudah mengambil keterangan pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 445.9, Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Rawang, dekat sini, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, suspek ditahan selepas dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh, dekat sini hari ini.
“Kita telah merakam percakapan suspek termasuk melakukan ujian saringan air kencing dan hasilnya, pemandu berusia 45 tahun itu bebas dadah.
“Suspek telah diberi jaminan polis dan kita masih meneruskan siasatan termasuk mengenalpasti punca kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, treler yang dipandu Mohamad Asri telah bergesel dengan Perodua Myvi lalu merempuh kereta Nissan Almera sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bergesel pula dengan bas persiaran.
Susulan daripada itu, tiga kenderaan lain iaitu BMW, Toyota Vellfire dan Perodua Alza di laluan bertentangan tidak dapat mengelak treler tersebut hingga menyebabkan empat maut.
Empat yang maut ialah Noorakhiruldin Alam Mohamad Noor, 48; Nur Fitriah Rosman, 24; Mohamad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24 dan Nurbaya Mohd. Zaki, 24.
Kesemua jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing pada pukul 2 pagi tadi manakala anak kepada Noorakhiruldin Alam, Ezzudin, 10, masih lagi mendapatkan rawatan di hospital. – UTUSAN ONLINE







