PM didesak campur tangan isu UEC - Utusan Malaysia

PM didesak campur tangan isu UEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Julai – Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk campur tangan bagi membatalkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek.

Ketua Eksekutifnya, Mohd. Zaid Mustafa berkata, gesaan tersebut selaras dengan pendirian Dr. Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini yang begitu tegas menolak tuntutan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) untuk mengiktiraf UEC.

“Maka sangat wajar beliau sebagai Perdana Menteri kali kedua yang memimpin kerajaan Pakatan Harapan supaya prihatin mendengar keresahan rakyat yang menolak UEC dalam kerangka sistem pendidikan kebangsaan.

“Mappim dan gabungan 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menegaskan bahawa UEC tidak perlu diiktiraf di dalam sistem pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Dr. Maszlee berkata, sebarang keputusan yang bakal diambil berhubung pengiktirafan UEC akan bersifat komprehensif dan holistik dengan tanpa menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sementara itu, Mohd. Zaid menegaskan, Mappim dan Ummah tetap akan mengerakkan himpunan bantahan besar-besaran untuk menolak pengiktirafan UEC sekiranya Menteri Pendidikan gagal membatalkan pengiktirafan tersebut dengan menyakinkan dalam tempoh masa tujuh hari.

“Perdana Menteri juga digesa untuk mengambil alih sementara jawatan Menteri Pendidikan kerana Dr. Maszlee dilihat tidak konsisten, berdolak-dalik dalam mengeluarkan kenyataan sehingga menyalahkan pula pihak media. Beliau dilihat tidak bersedia dan meyakinkan untuk menerajui kementerian tersebut.

“Tindakan Dr. Maszlee telah menjejaskan kredibiliti dan imej Kementerian Pendidikan yang sepatutnya berintegriti tinggi dalam membuat sesuatu kenyataan penting berkaitan polisi pendidikan di negara ini kerana akan memberi implikasi yang besar kepada kerajaan secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN