KUALA LUMPUR 26 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan membuat keputusan mengenai tindakan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Tan Sri Azman Mokhtar dan lapan ahli lembaga pengarah dana kerajaan tersebut mengemukakan surat peletakkan jawatan, semalam.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Dr. Mahathir juga yang akan menentukan hala tuju syarikat milik kerajaan (GLC) itu.
“Saya rasa mereka mahu memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan mengenai hala tuju Khazanah.
“Sama ada hendak meneruskan dengan barisan lembaga pengarah dahulu yang dilantik oleh kerajaan lama atau melantik yang baharu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, isu peletakan jawatan kepemimpinan Khazanah tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, semalam dan ia adalah keputusan ahli lembaga itu sendiri.
Hari ini, Khazanah mengesahkan semua sembilan ahli lembaga pengarahnya termasuk Azman telah meletakkan jawatan. – UTUSAN ONLINE










