KUALA LUMPUR 16 Julai – Biarpun Syawal sudah menghampiri penghujungnya, namun suasana kemeriahan Aidilfitri masih lagi dirasakan segelintir masyarakat yang meraikannya bagi menyimpulkan ikatan silaturahim antara satu sama lain.
Tidak terkecuali dalam meraikan sambutan penuh bermakna itu ialah Plaza Low Yat apabila menganjurkan program Jom Raya bersama 20 penghuni dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Kuala Lumpur.
Penolong Pengurus Besar Plaza Low Yat, Elaine Liew berkata, program amal yang berlangsung di restoran KFC, pusat beli-belah Low Yat, di sini baru-baru ini bertujuan meraikan kemeriahan hari raya bersama golongan kurang bernasib baik.
Katanya, selain dijamu hidangan ayam goreng KFC serta dihiburkan dengan gelagat badut dan ‘spideman’, tetamu dari rumah kebajikan itu turut menerima barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, sabun dan susu.










