PKR: Seorang dipecat, seorang diberi amaran keras, enam digantung - Utusan Malaysia

PKR: Seorang dipecat, seorang diberi amaran keras, enam digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – PKR memecat seorang pemimpin peringkat cabang serta menggantung enam pemimpin tertinggi lain sementara seorang lagi diberi amaran keras berikutan aduan kes tatatertib dan disiplin semasa Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, individu yang dipecat ialah Ketua Cabang PKR Pasir Salak, Noor Azwan Ramli.

Menurut beliau lagi, enam pemimpin tertinggi yang digantung keahliannya ialah Ketua Cabang Tapah, Audanan Talib; Ketua Cabang Lenggong, Azalan Shah Banyamin; Ketua Cabang Gerik, Mejar (B) Kaha Othman; Ketua Cabang Parit, Kapt. (B) Usaili Alias; Ketua Cabang Kuala Kangsar, Mohd. Khair Mohd. Zainal dan Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan, M. Shanmugam.

Jelas Fahmi lagi, seorang pemimpin yang diberi amaran keras ialah Ketua Cabang Padang Rengas, Alias Ibrahim.

“Dengan keputusan ini, semua nama yang dinyatakan di atas adalah tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti parti di semua peringkat.

“Mereka yang dinamakan boleh membuat rayuan kepada Majlis Pimpinan Pusat dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan ini di bawah Fasal Perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes-kes tindakan tatatertib itu telah pun dibentangkan dalam mesyuarat biro politik PKR bertarikh 10 Julai lalu yang dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh ahli-ahli biro politik yang lain.

Menurut Fahmi, PKR memandang cukup serius terhadap sebarang tindakan dan salah laku ahli yang melanggar keputusan parti serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli yang memburukkan nama parti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×