PKR pertaruh Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Ustaz Zawawi sebagai calon PRK DUN Sungai Kandis - Utusan Malaysia

PKR pertaruh Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Ustaz Zawawi sebagai calon PRK DUN Sungai Kandis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, 48, sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos depan. 

Pengumuman tersebut dibuat Presiden parti, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Pelancaran Jentera PRK DUN Sungai Kandis yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di sini sebentar tadi. 

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Mohd. Zawawi yang juga Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR merupakan graduan Sarjana Muda (Bahasa Arab) Universiti Al Azhar, Mesir pada tahun 1995 dan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) Universiti Malaya pada 2005. 

Beliau dilahirkan di Jalan Kebun di sini mempunyai seorang isteri, Hazlina Abdul Razak, 48, dan lima orang anak yang kesemuanya lelaki.

Beliau yang juga dikenali dengan nama Ustaz Zawawi telah bergiat aktif dalam gerakan Reformasi sejak tahun 1998 dan menjadi anggota secara rasmi PKR pada tahun 2012. 

Mohd. Zawawi yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun itu merupakan seorang kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia selain bekas guru dan pensyarah sambilan di Universiti Malaya dan Kolej Kejururawatan Pusrawi, Kuala Lumpur.  

Mohd. Zawawi merupakan calon kedua DUN Sungai Kandis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu selain Setiausaha Jentera pilihan raya DUN berkenaan dalam PRU-14.

Beliau ketika ditemui memberitahu, tidak menyangka akan dipilih sebagai calon parti untuk PRK DUN Sungai Kandis dan  berjanji akan meneruskan apa yang dirancang oleh Allahyarham Mat Shuhaimi sebelum ini.

“Terima kasih kepada kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberi kepada saya sebagai calon parti bagi PRK DUN Sungai Kandis.

“Fokus saya sekarang adalah untum menyelesaikan masalah setempat antaranya masalah sampah sarap, longkang tersumbat dan membela rakyat miskin di kawasan DUN Sungai Kandis,” katanya

Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Sabtu ini sebagai tarikh penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis manakala hari pengundian ditetapkan pada 4 Ogos depan. 

Seramai 51,230 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis yang ketika ini kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi.

Pada PRU ke-14, 9 Mei lepas, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi menentang calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon Pas, Mohd. Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76). – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN