KANGAR 16 Julai – PKR negeri ini berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi laluan sebagai Presiden tanpa perlu ada pertandingan jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu, Ogos depan.
Pengerusi PKR negeri, Mohamad Faisol Abd. Rahman berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan Ketua Umum PKR itu untuk bertanding jawatan Presiden selain menyifatkannya sebagai langkah tepat yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh seluruh ahli.
“Sebagai mana yang kita tahu, perjuangan Anwar mengharungi keperitan selama hampir 20 tahun dalam usaha membawa agenda reformasi di negara ini sehingga terpaksa meringkuk di penjara sebanyak dua kali.
“Namun semangat kental yang ada pada Anwar telah membawa kejayaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya baru-baru ini.
“Sehubungan itu, PKR negeri ini sebulat suara menyokong penuh untuk Anwar dicalonkan sebagai Presiden PKR pada pemilihan kali ini. Kami juga berharap jawatan ini (Presiden) tidak dipertandingkan, dengan semua pihak memberikan laluan kepada Anwar,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Anwar yang merupakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden bagi pemilihan PKR akan datang.
Menurut Anwar, keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan Presiden yang juga isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali serta kepimpinan lain.
Sementara itu, Mohamad Faisol berkata, beliau berdoa agar Anwar segera sembuh dan kembali ke tanah air setelah menjalani pembedahan bahu kanan di Istanbul, Turki.
“Sesungguhnya Anwar bukan sahaja diperlukan untuk memimpin PKR, tetapi juga untuk membawa agenda reformasi seluruh rakyat Malaysia sebagai bakal Perdana Menteri seperti yang disepakati oleh Pakatan Harapan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










