IPOH – Pertembungan dua kelab milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) dalam saingan Liga Super menyaksikan skuad dari Lembah Klang berjaya membenam pasukan dari Perak 1-0 di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan turun dalam aksi tersebut dengan misi tersendiri dengan PKNS FC bersaing untuk merebut tiga tempat teratas saingan Liga Super antara Perak dan Pahang manakala PKNP FC cuba untuk memperbaiki kedudukan sekali gus dapat mengelak dari berada di zon penyingkiran dalam baki beberapa perlawanan musim ini.
PKNS FC menjaringkan gol tunggal perlawanan seawal minit ke-4 menerusi jaringan penyerang skuad tersebut Muhammad Faris Ramli yang melakukan rembatan kencang selepas menerima tandukan daripada Rafael Ramazotti.
Selepas jaringan tersebut, aksi kedua-dua pasukan semakin hambar apabila tiada sebarang percubaan tajam dilakukan oleh anak-anak buah Abu Bakar Fadzim dan Datuk K. Rajagobal.
Perlawanan tersebut bagaimanapun dicemari dengan layangan kad merah pada minit ke-84 selepas berlaku insiden tolak menolak antara pertahanan PKNP FC, Ahmad Sukri dan Romel Oswaldo.
Percakaran tersebut menyaksikan pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada Ahmad Sukri Ab. Hamid yang memaksa pemain tersebut keluar padang.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga ke wisel penamat perlawanan.
Kemenangan tipis itu menyaksikan PKNS FC melonjak ke tangga ketiga Liga Super manakala PKNP FC kekal pada kedudukan kelapan liga. – K! ONLINE










