PKNS FC makin hampir 
capai sasaran musim ini - Utusan Malaysia

PKNS FC makin hampir 
capai sasaran musim ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASUKAN berstatus kelab, PKNS FC berharap dapat menutup tirai Liga Super dengan meraih tiga mata penuh meskipun bakal berdepan tugas sukar menentang Perak pada aksi terakhir di Stadium Shah Alam malam esok.

Pengurus pasukannya, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid percaya dengan kualiti barisan pemainnya yang berupaya memenuhi sasaran untuk berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super musim ini.

“Selepas kalah dengan Pahang pada perlawanan lepas, kedudukan terbaik yang kami boleh dapat adalah kedudukan keempat liga.

“Walau apa sahaja ke­pu­tusan menentang Perak nanti, saya percaya barisan pemain sudah melakukan sedaya upaya pada musim ini.

“Secara jujur, petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan oleh pihak pengurusan kepada kami adalah untuk berada dalam kelompok lima terbaik dan saya berpuas hati kerana ia hampir direalisasikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mahfizul juga gembira dengan sentuhan ketua ju­rulatih, Datuk K. Raja­gobal dan berharap momentum tersebut dapat diteruskan pada saingan Piala Malaysia yang dija­dualkan bermula bulan depan.

“Jurulatih kami (Rajagobal) telah menunjukkan prestasi yang cukup baik sepanjang musim apabila mempamerkan co­rak taktikal berbeza dalam saingan Liga Super dan Piala FA musim ini.

“Meskipun kami tidak bernasib baik apabila terkandas pada peringkat separuh akhir Piala FA bulan lalu, saya percaya saingan Piala Malaysia akan memberi dimensi berlainan buat pemain.

“Cuma, kami tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi tetapi sudah cukup untuk me­nyamai pencapaian edisi 2016 iaitu peringkat suku akhir,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pasukan The Red Ants sah melepaskan dua pemain muda mereka, Rodney Akwensivie dan Muhammad Jafri Firdaus Chew yang dipanggil menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bulan depan.

“Saya rasa tanggungjawab untuk bermain bersama pasukan kebangsaan lebih penting dan kami akan melepaskan mereka secara rela hati wa­laupun pertindihan de­ngan aksi Piala Malaysia.

“Mungkin pemain-pe­main lain akan diberi peluang oleh jurulatih nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN