SEMENYIH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mengingatkan semua parti politik yang terlibat dalam pilihan raya kecil Semenyih supaya mengelak daripada melakukan pelanggaran peraturan dan undang-undang pilihan raya.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara seumpama itu termasuk apa jua yang dirasakan rasuah boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Beliau menarik perhatian bahawa pihaknya tidak boleh membuat laporan polis bersandarkan laporan media semata-mata tanpa bukti yang diketahui sumbernya.
“Jika ada pihak merasakan sesuatu perbuatan itu melanggar undang-undang atau punyai maklumat secara langsung, mereka perlu membuat laporan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih.
Pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berlangsung hari ini di dua pusat mengundi dan juga di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. – Bernama










