KUALA LUMPUR – Sepucuk pistol jenis Revolver .38 merupakan antara barang yang dirampas dengan penahanan sembilan individu yang terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar Sentul di sini kelmarin.
Serbuan yang bermula kira-kira 1.30 petang dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Jinjang baru di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R.Munu berkata, polis telah menahan tujuh lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 27 hingga 53 tahun.
“Polis telah merampas dadah jenis methamphetamine seberat 5.37 gram bernilai RM550, sepaket plastik lut sinar berisi sebiji pil ekstasi seberat 0.86 gram bernilai RM50, sepucuk pistol dan enam butir peluru.
“Kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Munusamy menambah, harga pasaran bagi kesemua dadah yang dirampas bernilai kira-kira RM600.
“Polis masih menyiasat samada mereka terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah atau sebaliknya.
“Kesemua suspek direman selama lima hari bermula semalam hingga sabtu ini bagi siasatan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 39A(1), 15(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE










