SHAH ALAM 19 Julai – Kerajaan Persekutuan diminta supaya mengkaji semula keputusan membenarkan syarikat pemaju projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melaksanakan pembinaan landasan bertingkat melibatkan jajaran dari Pesiaran Sukan di Seksyen 13 ke Pesiaran Dato’ Menteri, Seksyen 14, di sini.
Perkara itu dibangkitkan penduduk di bandar raya ini yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan penetapan jajaran laluan berkenaan kerana didakwa mampu mencetuskan pelbagai masalah pada masa depan antaranya kesesakan lalu lintas, pencemaran bunyi, kerosakan alam sekitar serta merencatkan urusan pentadbiran serta komersial di pusat bandar Shah Alam.
Malah, pembinaan landasan bertingkat di jajaran sejauh 4 kilometer meliputi Pesiaran Sukan, Pesiaran Hishamuddin, Bulatan Kayangan dan Pesiaran Dato’ Menteri itu dakwa mereka turut menjejaskan landskap ikonik Bandaraya Shah Alam seperti Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Istana Kayangan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa LRT3 MPP Zon 2, Datuk Salamon Selamat, pihaknya tidak menghalang sebarang usaha pembangunan untuk manfaat rakyat Selangor khususnya di Bandar Raya Shah Alam, tetapi ia harus disusuli dengan perancangan teliti supaya lebih bersifat lestari dan benar-benar memberi impak positif kepada golongan sasar.
“Maka sebab itu kita adakan cadangan alternatif supaya jajaran landasan bertingkat LRT3 itu dialihkan agar ia bermula dari Pesiaran Sukan (Stesen Malawati) dan melalui kawasan zon pemampan Lebuh Raya Persekutuan di Seksyen 15 sehingga ke Pesiaran Dato’ Menteri (Stesen Bandar Anggerik),” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Pada masa sama, Salamon yang pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Shah Alam dari tahun 2002 hingga 2004 itu turut mencadangkan supaya Stesen Bandar Anggerik itu dibina di Jalan Gergaji di Seksyen 15, yang didapati lebih sesuai serta memenuhi keperluan pengangkutan awam untuk kira-kira 200,000 penduduk di Bandaraya Shah Alam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya telah mengemukakan memorandum termasuk cadangan berkenaan kepada Kementerian Kewangan serta Kementerian Pengangkutan selain berharap perkara tersebut diberikan pertimbangan yang sewajarnya.
“Jajaran alternatif yang dicadangkan oleh kita turut memberi manfaat kepada penjimatan kos kerajaan kerana ia melibatkan jarak 3.8 km sahaja berbanding dengan jajaran asal sejauh 4 km,” ujarnya.











