ISLAMABAD 25 Julai – Serangan pengebom bunuh diri mengakibatkan sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan 35 lagi cedera ketika rakyat negara ini keluar mengundi di bandaraya Quetta, barat daya Pakistan
Letupan itu berlaku di sebuah stesen mengundi di pinggir Quetta, ibu negara wilayah Balochistan.
Menurut pegawai pentadbiran tempatan di Quetta, Hashim Ghilzai berkata,pengebom cuba memasuki stesen pengundian tetapi dihalang pihak polis.
“(Pengebom) cuba memasuki stesen pengundian. Apabila polis cuba menghalangnya, dia meletupkan diri,” katanya.
Insiden dan jumlah kematian itu disahkan oleh pegawai kanan tempatan kedua.
Di Khyber Pakhtunkhwa, seorang terbunuh dan tiga cedera dalam pertempuran di luar stesen mengundi antara penyokong Imran Khan , Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) dengan Parti Nasional Awami di wilayah itu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan parti bintang kriket terkemuka, Imran Khan bersaing untuk menewaskan bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif.
Di seluruh Pakistan, polis dan anggota tentera dikerah mengawal stesen-stesen mengundi dengan pegawai rasmi kerajaan menggunakan dron untuk mengawasi kawasan-kawasan bandar barat laut Peshawar yang bermasalah.
Barisan pengundi turut beratur panjang di bandar-bandar utama Karachi, Quetta dan Peshawar.
Kawalan keselamatan dilakukan selepas beberapa serangan dirancang sehingga ke tempoh pilihan raya diadakan.
Pegawai tentera berkata, lebih 370,000 tentera akan ditempatkan hari ini untuk memastikan pilihan raya ‘adil dan bebas’, bersama kira-kira 800,000 anggota polis. – AFP










