PULAU PINANG 17 Julai – Kerajaan Negeri Pulau Pinang didesak mengadakan rundingan awam berhubung rancangan pembinaan projek Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL) di negeri ini.
Penasihat Penang Citizens Awareness Chant Group, Yan Lee berkata, rundingan awam itu penting bagi mendapat maklum balas daripada rakyat khususnya di kawasan yang terlibat secara langsung dengan projek tersebut.
Menurut beliau, rundingan awam bersama pemaju serta agensi-agensi lain berkaitan projek itu juga dapat memberi gambaran sebenar kepada penduduk sama ada projek lebuh raya berkenaan memberi impak positif kepada mereka serta alam sekitar atau sebaliknya.
“Ini adalah projek mega serta melibatkan banyak pihak, jadi kesannya juga adalah besar, maka seharusnya kerajaan negeri menjelaskan kepada rakyat mengenai status projek ini menerusi rundingan atau dialog awam,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Pembinaan lebuh raya PIL 1 merupakan sebahagian daripada projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang akan dilaksanakan di bawah fasa satu.
Lebuh raya dua hala sepanjang 20 kilometer itu dirancang dibina dengan enam lorong dan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bayan Lepas dengan enam persimpangan.
Ketika ini, laporan kajian impak alam sekitar (EIA) projek PIL 1 itu sedang dipamerkan kepada orang awam selama 30 hari bermula 11 Julai lalu hingga 10 Ogos ini.
Mengulas mengenai laporan EIA itu, Yan Lee berkata, usaha kerajaan negeri tersebut disifatkan tidak memberi impak memandangkan sukar difahami rakyat apatah lagi mempunyai sebanyak 800 muka surat.
Tambahnya, jika kerajaan negeri sebelum ini mampu menganjurkan rundingan dan dialog awam bagi rancangan projek tambah laut, maka projek PIL juga perlu melalui proses sama.
“Jika tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan, maka kerajaan negeri perlu terangkan kepada rakyat secara terbuka kerana rakyat berhak mengetahui apa yang akan berlaku kepada mereka apabila projek ini dilaksanakan kelak,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Dalbinder Singh berkata, dia berharap kerajaan dapat membuat rundingan lebih menyeluruh kepada rakyat terutama penduduk di kawasan terlibat.
Katanya, dia yang tinggal di Jalan Utama iaitu kawasan yang terlibat dengan projek itu menambah, majoriti penduduk di kawasan berkenaan membantah projek tersebut kerana beranggapan terdapat kaedah lebih baik bagi mengatasi kesesakan khususnya di kawasan pulau negeri ini.
“Sebagai contoh, kerajaan negeri boleh menyediakan lebih banyak perbelanjaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam kerana pembinaan lebuh raya hanya akan menambah jumlah kenderaan sekali gus semakin memburukkan masalah kesesakan,” katanya.










