PIC terima empat pensijilan SIRIM QAS - Utusan Malaysia

PIC terima empat pensijilan SIRIM QAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Julai – Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn. Bhd. (PRPC) menerima empat pensijilan International Standard Organisation (ISO) daripada SIRIM QAS International selepas memenuhi pia­waian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Ketua Pegawai Eksekutif PRPC dan Naib Presiden Kanan Petronas, Ir. Dr. Colin Wong Hee Huing berkata, ia menjadikan PRPC organisasi pertama di Malaysia yang menerima ISO 18788:2015, ISO 29993:2017 dan ISO 45001:2018.

“Pencapaian ini bukan sahaja menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pembangunan projek PIC, tetapi juga bukti komitmen kami untuk memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis penyerahan sijil itu diadakan baru-baru ini di Pengerang yang disampaikan Pengurus Besar Kanan Jabatan Pensijilan Pe­ng­urusan Sistem SIRIM QAS International, Nor’afiza Saim. Yang turut hadir, Hee Huing dan Presi­den dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Prof Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

PRPC menerima pensijilan ISO 18788:2015 yang menetapkan ra­ngka kerja pengurusan perniagaan dan risiko global untuk pe­ng­urusan operasi keselamatan, ISO 29993:2017 untuk pematuhan kepada program latihan minyak, gas dan petrokimia interaktif serta ISO 14001:2015 dan ISO 45001:2018 yang menekankan pematuhan dalam pengurusan dan pengawal seliaan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE).

PIC menempatkan kompleks petrokimia dan penapisan mi­nyak dengan kapasiti 300,000 tong sehari yang direka untuk menghasilkan bahan kimia premium dan khusus.

Selain membekalkan bahan mentah kepada kompleks petrokimia, ia juga mengeluarkan produk petroleum untuk pasaran tempatan dan memenuhi syarat keperluan Euro 5 yang ditetapkan Malaysia.

Selain itu, PIC juga mempunyai kemudahan lain termasuk Loji Penjanaan Bersama (Cogeneration) Pengerang, Terminal 2 Regasifikasi (RGT2), Projek Bekalan Air Mentah (Pamer), Unit Penga­singan Udara (ASU) dan Terminal Air Dalam Pengerang (PDT).

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata, pelaksanaan sistem yang mematuhi piawaian ISO membuktikan bahawa syarikat berke­naan komited dalam mengambil pendekatan holistik bagi menguruskan aspek HSE di PIC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN